Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Mahaizura Abd Malik


PIHAK berkuasa sudah mengenal pasti serta melipat ganda dan memperketatkan kawalan di semua lorong tikus seluruh negara bagi memastikan sempadan negara tidak diceroboh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak PKP dilaksanakan, seramai 84 individu ditangkap kerana mencerobohi negara melalui lorong tikus.

Menurutnya, kerajaan memahami kebimbangan rakyat mengenai kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam negara ketika ini.

"Kerajaan sentiasa tegas dalam memastikan sempadan dan kedaulatan negara tidak dicerobohi. Jadi, pemantauan bagi mengawal sempadan termasuk lorong tikus terus diperhebat dan diperketatkan.

"Setiap agensi keselamatan berkaitann terbabit dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutama lorong tikus bagi mengelak PATI membolosi sempadan negara sekali gus membendung penularan kes kluster baharu dalam negara," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.



Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 58 individu yang dijatuhi hukuman penjara akibat ingkar PKP mula ditempatkan di penjara sementara yang sudah beroperasi di seluruh negara.

Katanya, setakat ini, sebanyak 11 daripada 13 penjara sementara yang diwartakan sebagai pusat tahanan untuk individu ingkar PKP itu sudah memulakan operasi.

"Seperti sedia maklum Kementerian Dalam Negeri mewartakan 11 penjara khas untuk pesalah PKP yang dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah.

"Penjara khas ini sudah beroperasi dan 58 individu yang ingkar PKP dihantar ke penjara sementara itu," katanya.

ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 3:13 PM