WAN Nur Ashikin (kiri) membantu Nur Atirah mengemas pakaiannya di asrama. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
WAN Nur Ashikin (kiri) membantu Nur Atirah mengemas pakaiannya di asrama. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

"Saya rindukan semua masakan ibu saya. Saya rindu nak peluk dan cium ibu."

Begitulah kata-kata Wan Nur Ashikin W Rosli , 21, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang berkemungkinan melaksanankan ibadah puasa dan Aidilfitri di kolej kediamananya di Kolej Harun Amirnurrashid (KHAR) di Tanjung Malim.

Buat masa ini, Wan Nur Ashikin tidak boleh pulang ke rumahnya di Kuantan, Pahang berikutan Kuantan berada di zon merah.

Namun, beliau tetap membantu rakan sebiliknya, Nur Atirah Diana Yusof, 22, yang dapat pulang kerana kampungnya berada di zon hijau mengemas pakaian.

Lebih sebak lagi apabila ibunya, Noriah Yusoff lebih kerap menelefonnya sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk bertanyakan keadaannya.

Katanya, ibunya memahami keadaan sekarang tetapi bimbangkan keselamatan dirinya.

"Pada dua minggu PKP pertama, perasaan saya biasa sahaja, masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa tetapi bila ianya berlanjutan hingga ke fasa ketiga, saya jadi sedih.

"Saya mula merindui rumah, rindu pada ibu ayah, terutamanya ibu saya, ditambah lagi dengan melihat rakan-rakan lain yang rumah mereka berada di zon hijau boleh pulang ke rumah masing-masing," kata Wan Nur Ashikin yang tidak menjangkakan PKP ini berlanjutan sehingga ke fasa ketiga.

"Saya ingat PKP ini akan selesai dalam tempoh dua minggu sahaja yang bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac lalu, jadi saya tidak memikirkan untuk pulang pada masa itu, walaupun kakak saya ada menelefon bertanya mahu balik ke rumahya di Bangi atau tidak," menurutnya lagi.

Kesedihannya bertambah apabila tibanya Ramadan dan Aidilfitri bakal menjelang pada bulan hadapan.

"Ini adalah kali pertama saya tak dapat balik rumah untuk beraya jika PKP ini masih berterusan sehigga Aidilfitri dan terpaksa beraya bersama rakan-rakan yang senasib," katanya.

Namun, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam ini tidak dapat membayangkan jika PKP masih berterusan sehingga Aidilfitri.

"Saya tak dapat nak bayangkan perasaan dan situasai saya pada ketika itu, namun apa yang pasti saya perlu siapkan diri daripada segi fizikal dan mental," katanya yang juga anak bongsu daripada lapan beradik.

Semalam, kerajaan memberi kelonggaran kepada penuntut yang masih di kampus untuk pulang ke kediaman yang berada di zon hijau sahaja, bermula Isni ini.

Penghantaran pulang itu akan berjalan secara berperingkat dan membabitkan prosedur operasi standard (SOP).

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mempunyai kira-kira 6,000 penuntut yang terkandas di kolej kediamana mereka termasuk yang tinggal di luar kolej sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 6:51 PM