ZAITON (tengah berdiri) menyantuni sebahagian gelandangan di Pusat Gelandangan di Kem Wawasan Gunung Pulai. FOTO Omar Ahmad
ZAITON (tengah berdiri) menyantuni sebahagian gelandangan di Pusat Gelandangan di Kem Wawasan Gunung Pulai. FOTO Omar Ahmad


KERAJAAN negeri tidak berhasrat menambah pusat gelandangan sementara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Zaiton Ismail berkata, pusat gelandangan di Kem Wawasan Gunung Pulai yang dibuka pada 4 April lalu mencukupi untuk menempatkan gelandangan yang diselamatkan.

Katanya, jumlah gelandangan di kem terbabit juga berkurangan menjadi 191 orang berbanding jumlah yang diselamatkan iaitu 244 orang sebelum ini.

"Seramai 53 gelandangan yang sebelum ini ditempatkan di kem itu sudah dihantar kepada waris keluarga, diambil pihak majikan, dihantar ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan ada yang dirawat di hospital.

"Saya melihat kehidupan mereka di sini lebih teratur, malah setiap gelandangan akan dibuat saringan kesihatan bagi memastikan semuanya berada dalam kesihatan yang baik.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memberikan perkhidmatan kaunseling kepada gelandangan ini," katanya ketika ditemui di Kem Bina Wawasan Gunung Pulai, Kulai, hari ini.

Zaiton berkata, sepanjang Ramadan ini, Majlis Agama Islam Negeri Johor menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi mereka yang beragama Islam selain ingin mendekati agama itu.

Katanya, kelompok gelandangan ini turut menghadiri sesi tazkirah selepas solat fardu bersama Pejabat Kadi Daerah Kulai.

"Panduan serta bimbingan turut diberikan untuk mengerjakan solat sunat tarawih.

"Bagi JKM pula, aktiviti santai diwujudkan bagi mengisi waktu lapang kelompok gelandangan ini.

"Antara aktiviti dilakukan ialah menyediakan tayangan video atau filem bagi tontonan peserta setiap hari secara bergilir selain permainan tradisi seperti dam haji dan karom.

"Pihak JKM juga mengadakan sesi kaunseling secara perseorangan kepada peserta bagi mendalami dengan lebih dekat isu dan permasalahan yang mereka alami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 1:34 PM