Balqis Jazimah Zahari


"DALAM keadaan ribut, suami berlari ke rumah mak untuk mengangkat ayah yang terlantar di atas katil sebelum dipindahkan ke tempat lebih selamat kerana bumbung zink mulai tercabut."

Begitu kata Nor Ashimah Mohamad Nawawi, 32, apabila rumah ibunya rosak pada bumbung zink akibat diterbangkan ribut dalam kejadian di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor Dalam, Ipoh, semalam.

Ibu kepada empat anak berusia tiga bulan hingga lapan tahun itu berkata, kejadian berlaku 6 petang ketika dia sedang memasak juadah berbuka di rumahnya yang berada hanya bersebelahan dengan rumah ibunya.

"Hujan begitu lebat dengan disertai angin sangat kuat, ingat nak lari ke rumah mak di sebelah, tetapi ketika itu saya melihat atap rumah mak tercabut dan bumbung melayang-layang.

"Kami hanya memikirkan Allah dan menyelamatkan anak-anak sahaja ketika itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Ashimah berkata, suaminya, Mohd Afifi Zulkefli, 35, bersama adik-beradik lain mengangkat bapanya Mohamad Nawawi Abidin, 64, yang menghidap angin ahmar ke surau berdekatan sebelum dihantar ke rumah kakaknya di Gunung Rapat, malam semalam.

"Habis semua peralatan serta perabot rosak dan kami memang tidak dapat selamatkan apa-apa, hanya memikirkan mahu menyelamatkan nyawa ketika itu," katanya memaklumkan ibunya dirawat akibat demam denggi di hospital sejak empat hari lalu.

KEADAAN bumbung rumah milik penduduk, Norashimah Mohamad Nawawi yang rosak dalam kejadian ribut yang berlaku petang semalam membabitkan lebih kurang 390 buah rumah di RPT Chepor Dalam. FOTO Sharul Hafiz Zam
KEADAAN bumbung rumah milik penduduk, Norashimah Mohamad Nawawi yang rosak dalam kejadian ribut yang berlaku petang semalam membabitkan lebih kurang 390 buah rumah di RPT Chepor Dalam. FOTO Sharul Hafiz Zam

Katanya, dia reda dengan ujian berganda yang menimpa keluarganya ketika Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Habis berpantang terus PKP, kami reda dengan apa yang terjadi mungkin ini ujian Allah, bukan kami sahaja tetapi ramai lagi penduduk yang terkesan dengan musibah ini," katanya.

Mangsa lain yang juga ibu tunggal, Nor Hasneza Mohd Razali, 39, berkata ia adalah kejadian ribut pertama yang dialami sejak tinggal di kawasan berkenaan.

"Mulanya angin disertai hujan saja dan air masuk sedikit ke dalam rumah, tetapi selepas itu angin menjadi tidak menentu sebelum disusuli hujan lebat.

"Saya bersama anak-anak berdiri di ruang tamu dan tidak mampu pergi ke mana-mana sambil melihat bumbung melayang di hadapan mata," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta, Halizah Sipun berkata, sebanyak 362 rumah di empat penempatan termasuk dua taman perumahan terjejas akibat ribut berkenaan.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi, Datuk Asmuni Awi turut melawat mangsa yang terjejas malam semalam bagi menyelaraskan bantuan awal.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 3:27 PM