"HATI saya sangat gembira dapat memeluk Islam," demikian luahan mualaf yang menjadi Individu pertama memeluk Islam di Pusat Gelandangan Kem Wawasan Gunung Pulai, di Kulai.

Muhammad Safirul Abdullah, 35, atau nama asalnya S Kanna memeluk Islam sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Katanya, dia sudah lama menyimpan keinginan mahu menjadikan ajaran Islam sebagai pegangan hidup sejak dua tahun lalu.

"Sebenarnya sudah lama saya hendak memeluk Islam, baru kali ini hasrat dan keinginan saya tercapai. Saya sangat gembira mereka di sini banyak membantu, saya masuk Islam dengan rela tanpa paksaan.

"Hari pertama puasa memang rasa susah tetapi saya berjaya menahan lapar dan haus sehingga waktu berbuka. Dari Ramadan pertama, saya yakin boleh berpuasa, sekarang sudah biasa kalau lapar dan dahaga.

MUHAMMAD Safirul Abdullah. FOTO Omar Ahmad
MUHAMMAD Safirul Abdullah. FOTO Omar Ahmad

"Pihak sini banyak membantu mualaf seperti saya. Di pusat ini, ada pelbagai program pengisian yang dijalankan untuk mereka yang beragama Islam oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), saya belajar solat, belajar mengaji.

"Ramai kawan-kawan di sini yang selalu beri sokongan kepada saya", katanya ketika ditemui di Kem Wawasan Gunung Pulai, di Kulai.

Menurut anak kelahiran Kedah itu, nama Muhammad Safirul dipilihnya sendiri bagi memperingati nama kawan baiknya yang sudah meninggal dunia.

"Saya di dunia ini tiada siapa, mak ayah sudah tiada, saya anak tunggal. Kehidupan di sini jauh lebih baik dari dulu kerana di sini lebih teratur, banyak saya belajar," katanya yang sudah tiga tahun menjadi gelandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 9:05 AM