PEMBANTU kedai, Mohd Hafiz menyusun sayur di kedai runcit. FOTO HASSAN OMAR
PEMBANTU kedai, Mohd Hafiz menyusun sayur di kedai runcit. FOTO HASSAN OMAR


SEDIH melihat nasib pekebun sayur yang sukar memasarkan hasil pertanian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 14 Mac lalu, seorang peniaga kedai runcit berhati mulia dan bertindak membantu mereka.

Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 55, yang sebelum ini tidak pernah menjual sayur di kedainya bertindak membenarkan pekebun sayur menjual hasil pertanian mereka di kedai runcitnya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah, Melaka.

Menurutnya, pelaksanaan PKP sejak pertengahan Mac sehingga sekarang memberi impak kepada pelbagai golongan termasuk pekebun sayur yang sukar memasarkan hasil pertanian ke daerah atau negeri lain berikutan larangan bergerak ke daerah atau negeri lain.

"Mereka mengusahakan pelbagai jenis sayur seperti kangkung, terung, bayam, kambas, kacang panjang, cili padi dan seumpamanya.

"Sebelum ini saya tidak pernah menjual sayur tetapi apabila didatangi pekebun sayur yang menghadapi masalah untuk memasarkan hasil pertanian masing-masing, maka saya izinkan mereka menjual sayur di kedai saya," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pekebun terbabit cuba memasarkan hasil pertanian di luar daerah tetapi gagal melepasi sekatan jalan raya dan terpaksa mencari pasaran di sekitar pekan Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Sementara itu seorang pelanggan, Kamariah Abdul Majid, 56, berkata sejak sayur dijual di kedai berkenaan, beliau tidak perlu lagi ke Pasar Awam Masjid Tanah untuk mendapatkan bahan makanan itu, sebaliknya cukup sekadar membelinya di kedai berkenaan.

"Selalunya saya terpaksa tunggang motosikal ke pasar tetapi sekarang tidak lagi kerana sudah ada kemudahan untuk mendapatkan sayuran segar di kedai berdekatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 2:24 PM