Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.


INDIVIDU baru sembuh daripada Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah di Melaka, tidak dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama anggota keluarga lain.

Sebaliknya, mereka harus menunaikan solat berkenaan secara bersendirian bagi mengelak penularan wabak berbahaya itu.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, solat berkenaan tidak dibenarkan diadakan secara berjemaah di masjid dan surau, sebaliknya ditunaikan di kediaman masing-masing.

"Solat sunat hari raya boleh dilakukan dengan atau tanpa khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian.

"Petugas diamanahkan menjalankan tanggungjawab di masjid dan surau, boleh menunaikan solat sunat itu tertakluk kepada pekeliling dan arahan ditetapkan pihak berkuasa agama negeri," katanya dalam kenyataannya di Melaka, hari ini.

Beliau berkata, pesakit dan petugas di hospital dibenarkan menunaikan solat berkenaan, tetapi tertakluk kepada peraturan dan arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Abdul Halim berkata, takbir raya yang berfungsi sebagai syiar Islam disunatkan dilaungkan mulai selepas terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan dan berterusan hingga selesai solat sunat hari raya.

Beliau berkata, takbir raya di masjid dan surau hanya dilakukan imam, bilal dan siak atau dengan menggunakan rakaman.

Bagaimanapun, katanya, takbir dari rumah ke rumah pada malam raya tidak dibenarkan, sebaliknya umat Islam digalakkan melaungkan takbir di kediaman masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 5:29 PM