KERJA pembersihan di Pasar Awam Bahau berikutan seorang peniaga disahkan Covid-19.
KERJA pembersihan di Pasar Awam Bahau berikutan seorang peniaga disahkan Covid-19.
Abnor Hamizam Abd Manap


JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jempol mengumumkan Kawasan Kawalan Khas (KKK) di kawasan Pasar Awam Bahau (PAB) dan premis di sekitarnya serta menutup semua aktiviti dan pergerakan orang ramai sehingga 10 Mei ini.

Pengerusi JPBD Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, kawasan itu kini diletak di bawah kawalan polis dan agensi berkaitan dengan seramai 36 penduduk dari 13 rumah di KKK berkenaan tidak dibenarkan keluar dari tempat tinggal masing-masing.

Beliau berkata, semua keperluan mereka akan disediakan dan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"KKK dilaksanakan selepas seorang peniaga di PAB disahkan positif Covid-19 pada 24 April lalu dan KKK sebagai usaha membendung wabak Covid-19 dari kluster Pasar Borong Selayang ke daerah Jempol.

"Seramai 191 individu sudah menjalani saringan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Jempol dengan 130 sampel diambil termasuk 35 kontak rapat dan 14 penduduk dari rumah kedai berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian itu, Syahrul Nizam berkata, kerja pembersihan dan disinfeksi di premis terbabit dilaksanakan bermula semalam.

Beliau berkata, penutupan jalan raya di Kilometer 0.5 Jalan Bahau-Rompin akan dilanjutkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat bermula esok.

"Kuarantin berpusat akan dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau sekiranya bilangan pesakit di bawah pemantauan (PUI) adalah ramai.

"Bagaimanapun, ketetapan PUI ditempatkan di pusat kuarantin atau kuarantin di rumah akan ditentukan pegawai kesihatan daerah.

"Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diberi tanggungjawab bagi menyediakan bekalan dan lokasi alternatif kepada peruncit dan petani yang terbabit dengan urusan di PAB bagi memastikan bekalan bahan mentah tidak terputus," katanya.

Berikutan kejadian di PAB itu, Syahrul Nizam berkata, orang ramai dinasihatkan tidak panik selain terus kekal di rumah.

Beliau berkata, orang ramai pernah berurusan di PAB baru-baru ini, tetapi tidak tergolong dalam kontak rapat hanya perlu melakukan kuarantin sendiri di rumah selama dua minggu dan sekiranya mempunyai gejala, sila dapatkan khidmat nasihat daripada klinik kesihatan berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 7:10 PM