Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik


HUKUMAN melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak melihat darjat atau status pesalah sebaliknya tertakluk kepada kesalahan dilakukan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada siapa boleh kebal undang-undang di negara ini dan kerajaan bersikap adil kepada semua.

"Bila bercakap soal hukuman RM1,000 saya tahu merujuk kepada Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak ramai netizen yang membandingkan (hukuman).

"Seperti yang saya jelaskan, tiada siapa yang mengatasi undang-undang di negara kita kerajaan bersikap adil kepada sesiapa yang melanggar undang-undang," katanya pada sidang media harian hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perbezaan hukuman PKP yang mengaitkan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco kerajaan negeri Perak Razman Zakaria yang didakwa kerana melanggar PKP dengan pesalah orang awam.

Katanya, perbezaan hukuman orang ramai dan dua individu kehormat itu merujuk kepada kesalahan berbeza.

"Exco Perak dan Timbalan Menteri Kesihatan mereka melanggar SOP peraturan bukan PKP. Wakil rakyat adalah individu yang dibenarkan bertugas ketika PKP demi kebajikan dan membantu rakyat di bawahnya tetapi kesalahan mungkin soal penjarakan sosial dan sebagainya yang membabitkan SOP maka tindakan mereka dikenakan dibawah Akta 342 saja dengan denda maksimum RM1,000 saja.

ISMAIL Sabri pada sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri pada sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra. FOTO BERNAMA

"Saya sebutkan ramai orang dipenjarakan bukan kerana kesalahan PKP tetapi masalah lain seperti kanun keseksaan dan sebagainya, contohnya yang ditangkap menghalang tugas penjawat awam kerana bergaduh dan melawan polis malah ada melanggar sekatan jalan.

"Jadi bermakna (mereka) dipenjara bukan sebab PKP atau langgar SOP tetapi membabitkan kesalahan lain seperti kanun keseksaan dan sebagainya sebab itu hukuman berbeza bukan dua darjat seperti yang digambarkan ramai di luar sana," katanya.

Sebelum ini, gambar Dr Noor Azmi dan Razman serta beberapa individu lain tular di media sosial menghadiri jamuan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong ketika PKP bagi mengekang penularan Covid-19 dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 3:26 PM