GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yun Mikail


KERAJAAN Sabah membenarkan operasi kedai komputer, telefon bimbit, fotostat dan alat tulis di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, keputusan terbabit diputuskan dalam Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, hari ini.

"Langkah ini diambil bagi memastikan golongan pelajar mendapat bahan peralatan dan alat tulis bagi tujuan pembelajaran secara online (dalam talian) dan keperluan berkaitan.

"Semua premis perniagaan berkenaan hanya dibenarkan beroperasi tiga hari seminggu iaitu hari Selasa, Khamis dan Sabtu bermula 8 pagi hingga 5 petang.

"Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah akan mengenal pasti kedai yang dibenarkan beroperasi," katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Safar dalam kenyataan sama berkata, kebenaran operasi turut diberikan keadaan kedai menjual peralatan keagamaan di seluruh negeri.

Beliau berkata, premis seumpama itu dibenarkan menjalankan perniagaan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.

Bagaimanapun, katanya, masa operasi terhad dari 8 pagi hingga 5 petang pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu.

"KKTP Sabah juga bertanggungjawab dalam mengenal pasti serta menentukan kedai yang dibenarkan beroperasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 9:13 PM