AIDI Moktar. FOTO YUN MIKAIL
AIDI Moktar. FOTO YUN MIKAIL


TIADA pelajar Sabah di Mesir dijangkiti wabak Covid-19 setakat semalam.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar berkata seramai 325 orang pelajar Sabah di negara berkenaan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Aidi berkata kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sudah menyalurkan bantuan kewangan untuk pelajar mendapatkan keperluan harian di sana.

"Kita sudah membuat keputusan supaya semua pelajar tidak balik ke Sabah berikutan mereka bakal menduduki peperiksaan pada Mei hadapan.

"Selain itu, kita juga khuatir ada antara pelajar dijangkiti Covid-19 dan mereka boleh menyebarkan wabak terbabit sekiranya pulang ke tanah air.

"Bagaimanapun, sekiranya ada dalam kalangan pelajar kita di Mesir yang tetap mahu pulang, mereka boleh berbuat demikian namun segala kos akan ditanggung oleh pelajar sendiri," katanya.

Aidi berkata demikian ketika sidang media Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2020, di Kota Kinabalu, semalam yang turut dihadiri Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 9:17 AM