FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartikawati Amri dan Yusmizal Dolah Aling


PENGUMUMAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berhubung kebenaran beroperasi kepada peniaga bermula 4 Mei ini nyata melegakan lebih 12,000 ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia adalah berita ditunggu-tunggu mereka yang ketika ini hanya beroperasi secara penghantaran menerusi e-hailing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Katanya, beberapa langkah pencegahan sudah diambil sebelum ini akan dipertingkatkan khususnya kebersihan premis bagi memastikan ia tidak mengundang penyebaran wabak.

"Presma juga akan menetapkan satu laluan masuk dan keluar bagi memastikan pelanggan menjalani pemeriksaan suhu, mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan sosial.

"Ini untuk memastikan pelanggan yang datang bebas dari gejala dan ia dapat membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian Covid-19 walaupun perniagaan dibenarkan beroperasi," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, jarak dua meter yang dibenarkan adalah terlalu jauh dan bagi premis biasa, hanya empat atau lima meja saja yang boleh disediakan.

Tambahnya, Presma meminta kerajaan meneliti semula perkara itu kerana ia akan menjejaskan operasi dan pelanggan perlu menunggu lama untuk menikmati makanan mereka.

"Kami juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan waktu operasi sedia ada daripada 8 pagi hingga 8 malam kepada waktu yang lebih panjang selepas ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 1:30 PM