GAMBAR hiasan. FOTO Shahrizal Md Noor
GAMBAR hiasan. FOTO Shahrizal Md Noor
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


RAKYAT Perlis diingatkan agar tidak memandang ringan penularan wabak Covid-19 selepas negeri itu kini berada dalam Zon Hijau sejak 23 April lalu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat perlu sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat dengan tidak bersikap sambil lewa.

"Beta mengajak rakyat supaya sama-sama berusaha lebih keras untuk memastikan negeri (Perlis) ini berjaya mencapai Zon Putih dalam menangani isu Covid-19.

"Perjuangan kali ini adalah satu realiti yang menakutkan dan paling mustahak adalah semua masyarakat melipat gandakan usaha agar penularan wabak tidak berlaku di Perlis," titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau, hari ini.

Baginda bertitah, meskipun hampir banyak sektor boleh beroperasi semula pada Isnin ini, namun rakyat mesti berjaga-jaga dan menjaga penjarakan sosial antara satu sama lain.

"Pusat beli-belah, pasar raya, pasar basah, pasar borong dan seumpamanya yang diberi kebenaran untuk beroperasi, sebaiknya melaksanakan pergerakan pelanggan mengikut satu arah sahaja ketika membeli-belah.

"Setidaknya pergerakan secara ala bertawaf di dalamnya dapat mengurangkan pertembungan secara bersemuka antara pengunjung.

"Selain itu, Beta menyarankan rakyat mengurangkan kekerapan keluar dari rumah untuk membeli-belah terutama warga emas serta mereka yang mempunyai sejarah penyakit seperti barah, kencing manis, darah tinggi," titah baginda.

Titahnya, ketua keluarga perlu memainkan peranan agar ahli keluarga terus mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Perlis adalah negeri pertama Zon Hijau selepas selama 22 mukim di negeri itu tidak mencatatkan sebarang kes baharu bagi tempoh hampir dua minggu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 3:36 PM