X
AHMAD Suaidi membacakan perutusan berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
AHMAD Suaidi membacakan perutusan berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Balqis Jazimah Zahari

KERAJAAN negeri Perak akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan ekonomi yang diumumkan Kerajaan Persekutuan dengan penangguhan operasi bagi sektor makanan dan riadah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas, hari ini selepas meneliti kesemua sektor perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi semula mengikut SOP.

Katanya, pihaknya sangat memandang serius sektor yang berisiko tinggi terhadap penularan jangkitan Covid-19.

"Sektor makanan iaitu restoran, warung, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, kenderaan saji, penjaja beredar dan penjaja tepi jalan dibenarkan untuk beroperasi.

"Bagaimanapun, mereka hanya boleh beroperasi untuk tujuan bungkus dan penghantaran, manakala makan di premis tidak dibenarkan.

"Selain itu, pasar segar terkawal tanpa premis contohnya pasar pagi juga tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Suaidi berkata, aktiviti riadah di taman rekreasi awam juga masih belum dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 4 ini.

Menurutnya, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini berada dalam keadaan baik dan efektif, maka pejabat kerajaan negeri akan mula beroperasi mulai esok.

"Kerajaan Perak menyambut baik pengumuman kerajaan pusat untuk membuka semula ekonomi negara dengan membenarkan industri dan aktiviti perniagaan beroperasi secara menyeluruh.

"Bagaimanapun, kita masih dalam tempoh PKP sehingga 12 Mei ini dan orang ramai masih tertakluk kepada arahan pihak berkuasa," katanya.

Katanya, walaupun tiada kes baharu dilaporkan untuk tempoh 15 hari berturut-turut, namun terdapat 15 mukim dan sub mukim belum bebas daripada kes dalam tempoh 28 hari (dua tempoh inkubasi).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 4:54 PM