Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas memandangkan golongan itu kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan secara berfasa itu akan bermula dengan 17 Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Berliau berkata, seterusnya KKM akan menjalankan saringan di 357 pusat jagaan yang berdaftar mengikut Akta 506 dan 26 nursing homes yang berdaftar mengikut Akta 586.

"KKM dimaklumkan ada hampir atau lebih 1,000 pusat jagaan warga emas swasta yang tidak berdaftar di bawah mana-mana akta.

"Justeru Pejabat Kesihatan Daerah diarah untuk mengenal pasti pusat jagaan warga emas swasta termasuk institusi pondok agama di daerah masing-masing bagi memastikan liputan saringan Covid-19 adalah menyeluruh," katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Gambar fail NSTP.
Gambar fail NSTP.

Menurut beliau, pengusaha pusat jagaan swasta digalakkan untuk berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

"KKM akan terus memantau kejadian jangkitan Covid-19 di Malaysia.

"Penduduk Malaysia dinasihatkan untuk kekal duduk di rumah dan hanya keluar rumah untuk urusan perlu sahaja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 5:59 PM