Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


GOLONGAN obesiti dan perokok dikenal pasti satu lagi kumpulan yang berdepan risiko kematian sekiranya dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumpulan ini didapati bukan sahaja akan mendapat radang paru-paru, tetapi kepekatan darah juga akan meningkat.

"Virus itu juga boleh merosakkan dinding saluran darah yang halus, jadi jika saluran ini rosak dinding akan berlaku thrombosis, iaitu pembekuan darah dalam pembuluh atau jantung. Bagi pesakit obesiti pula, pengaliran darah lebih perlahan," katanya pada sidang media harian Putrajaya, hari ini.

NOOR Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NOOR Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Noor Hisham berkata, sekiranya ketiga-tiga ini berlaku boleh menyebabkan darah beku dan akan berlaku komplikasi.

"Kalau darah beku berlaku di jantung, pesakit akan mendapat penyakit jantung, kalau di otak akan diserang angin ahmar," katanya.

Beliau berkata demikian menjelaskan antara hasil siasatan Jawatankuasa Khas Audit Kematian Covid-19 yang ditubuhkan sejak akhir Mac lalu.

"Individu yang disahkan positif Covid-19 dan mempunyai rekod penyakit tidak berjangkit (NCD) berdepan risiko komplikasi kesihatan yang lebih dahsyat malah membawa maut sekiranya tidak mendapatkan rawatan secepat mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 8:14 PM