BANGUNAN Bank Rakyat. FOTO Saifullizan Tamadi
BANGUNAN Bank Rakyat. FOTO Saifullizan Tamadi
Sri Ayu Kartika Amri


BANK Rakyat komited memastikan kelancaran penyediaan kemudahan moratorium pembiayaan kepada pelanggannya selama enam bulan bermula 1 April yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada 25 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed berkata, bermula 2 Mei Bank Rakyat sudah memaklumkan kepada pelanggan mengenai kaedah untuk menerima tawaran moratorium pembiayaan berkenaan.

"Pelanggan hanya perlu memberi maklum balas melalui e-borang yang disediakan di laman sesawang Bank Rakyat atau melalui capaian https://mora.bankrakyat.com.my yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Mereka dikehendaki menghantar e-borang yang telah diisikan sebelum atau pada 29 Mei ini.

"Pelanggan yang tidak memberikan maklum balas dalam tempoh diberikan dikira sebagai tidak meneruskan moratorium," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi pelanggan yang memilih untuk meneruskan moratorium, penstrukturan semula pembiayaan dengan kadar keuntungan asal dan lanjutan tempoh moratorium akan dilaksanakan.

"Manakala bagi pelanggan yang memilih untuk tidak meneruskan kemudahan moratorium, mereka perlu menjelaskan ansuran bulanan seperti biasa bermula pada Jun ini," katanya.

Menurutnya, pelanggan juga akan diberi tempoh masa untuk menjelaskan ansuran bulanan yang tidak dibayar sebelum ini semasa tempoh moratorium tanpa sebarang caj lewat bayar.

"Menerusi pengumuman ini diharapkan pelanggan Bank Rakyat yang terdiri daripada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikro dan koperasi termasuk golongan B40 dapat menjalani tempoh yang mencabar secara positif serta yakin bahawa Bank Rakyat sentiasa prihatin dengan isu membabitkan keperluan pelanggannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 8:16 PM