Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru semua rakyat dan warga asing di negara ini untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan MyTrace secara percuma di telefon pintar masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aplikasi MySejahtera membolehkan setiap individu melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan Covid- 19.

Beliau berkata, MySejahtera adalah aplikasi yang dibangunkan kerajaan Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi.

"Aplikasi ini membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara dengan memperkasakan rakyat atau pengguna untuk prihatin kepada kesihatan kendiri dan keadaan semasa virus pandemik ini di Malaysia.

"MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri di samping membantu KKM mendapatkan maklumat awal tahap kesihatan individu untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, antara fungsi MySejahtera adalah pengesan hotspot ataupun hotspot tracker iaitu pengguna boleh mendapatkan maklumat kawasan panas kes Covid-19 dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian.

"Ia memberi maklumat berkaitan fasiliti saringan Covid-19 yang terdekat dan bantuan nasihat secara atas talian.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

"Selain untuk diri sendiri, pengguna juga boleh mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga tidak mempunyai telefon pintar yang mana MySejahtera membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.

"Pengguna yang sudah memuat turun aplikasi ini perlu mengemaskini kepada versi terbaharu bagi mendapat manfaat penuh MySejahtera," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, aplikasi itu akan ditambah baik dengan ciri-ciri terkini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Selain itu, katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membangunkan aplikasi MyTrace.

"Aplikasi ini membolehkan kerajaan menjalankan pengesanan kontak kepada individu yang disahkan positif Covid-19.

"MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera. Pengesanan kontak adalah sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenal pasti positif Covid-19.

"MyTrace tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi pengguna, sebaliknya merekodkan log gelombang Bluetooth apabila pengguna berada berdekatan antara satu sama lain," katanya.

Justeru, katanya, KKM amat menggalakkan rakyat mendapatkan kedua-dua aplikasi itu lebih-lebih lagi ia tidak mengenakan sebarang bayaran.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:21 PM