GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


SARANAN Menteri Kewangan supaya melupuskan kadar faedah terakru sepanjang tempoh enam bulan moratorium wajar dipertimbangkan oleh institusi kewangan di negara ini.

Pakar ekonomi Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, berdasarkan keadaan ekonomi semasa, adalah wajar untuk bank tidak mengenakan sebarang caj tambahan atau kadar faedah.

Katanya, persetujuan bank adalah baik kerana ia membantu ekonomi untuk berkembang melalui perbelanjaan isi rumah.

"Kesan ke atas bank akibat penghapusan faedah ke atas penangguhan pinjaman adalah minimum.

"Tetapi jika kita ambil konsep perkongsian risiko, pihak bank boleh kenakan caj tambahan bulanan yang minimum sahaja.

"Jumlah ini perlulah tetap setiap bulan selama enam bulan selepas tamat kontrak dan kadarnya perlu ditentukan dan dipersetujui oleh pihak kerajaan yang mana kadar lebih rendah kepada golongan B40 berbanding M40 dan tiada keistimewaan atau diskaun untuk T20.

"Hakikatnya adalah wajar pihak bank melupuskan kadar faedah terakru terbabit dan penghapusan kadar faedah terakru ini akan menjadi sumbangan yang signifikan bank kepada rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya, apa yang memberi kesan besar kepada bank sekarang ini adalah sektor ekonomi yang sebahagian besarnya tidak bergerak semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun, katanya, pihak bank juga perlu mengambil tanggungjawab sosial di dalam situasi ekonomi sekarang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:25 PM