Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu di Kuching, Sarawak membabitkan sebanyak 37 kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dikenali sebagai kluster Taman BDC dan dikesan mempunyai kaitan dengan kes indeks perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

"Kes indeks kluster Taman BDC di Kuching adalah individu yang terbabit dengan perhimpunan di Masjid Seri Petaling dan sudah menjangkiti sehingga tiga generasi, kebanyakannya ahli keluarga, kariah masjid dan rakan sekerja.

"Daripada 37 kes positif yang dilaporkan membabitkan kluster itu, sebanyak 28 kes masih lagi aktif manakala tujuh sudah sembuh dan ada dua kematian," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kluster Pasar Chow Kit mencatatkan pertambahan sebanyak 16 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 44 dengan 43 kes masih lagi aktif, hanya satu yang sudah sembuh.

Katanya, kluster Sendayan di Negeri Sembilan mencatatkan lima kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 109 dan 70 kes sudah sembuh.

DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

"Manakala, 38 daripada keseluruhan kes masih lagi aktif termasuk seorang yang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Seorang pesakit daripada kluster ini meninggal dunia.

"Kluster Pesantren ada pertambahan tiga kes menjadikan keseluruhan kes sebanyak 222.

"Kluster Kampung Baru ada dua kes baharu menjadikan kes keseluruhan sebanyak 24 kes dan Masdrasah Air Merbau di Jasin ada pertambahan satu kes menjadikan kes keseluruhan sebanyak 41 kes. Lain-lain kluster tiada pertambahan setakat ini," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 15,988 pengajar kakitangan dan pelajar tahfiz dari 339 madrasah sudah dikenal pasti.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,494 sudah disaring iaitu sebanyak 53.1 peratus manakala seramai 390 orang atau 4.6 peratus didapati positif Covid-19," katanya.

Mengenai laporan warga Malaysia yang pulang ke tanah air dari 3 April hingga 4 Mei pula beliau berkata, seramai 27,841 individu dikuarantin.

"Daripada jumlah itu seramai 15,393 individu tamat tempoh kuarantin selama 14 hari dan sebanyak 333 kes adalah didapati positif setakat ini dengan pertambahan tujuh kes hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 7:09 PM