MUHYIDDIN menyampaikan ucapan ketika menyertai Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Berhubung Covid-19. FOTO Bernama
MUHYIDDIN menyampaikan ucapan ketika menyertai Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Berhubung Covid-19. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


MALAYSIA melahirkan kebimbangan sekiranya negara kecil tidak bersatu akan menyebabkan mereka terpinggir apabila vaksin Covid-19 ditemui dan dijual syarikat farmasi besar di negara maju.

Dalam ucapan secara atas talian di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta organisasi kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memperjuangkan perolehan bekalan ubatan dan vaksin untuk negara-negara kecil.

Beliau berkata, NAM mesti mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengisytiharan yang meminggirkan kepentingan negara anggota NAM di saat dunia sedang berdepan krisis Covid-19.

Katanya, pergerakan NAM terdiri daripada 120 negara sebagai ahli serta 17 wilayah dan 10 pertubuhan antarabangsa sebagai pemerhati, ia merangkumi hampir dua pertiga anggota PBB dan mewakili separuh penduduk dunia.

"Kita tidak bersendirian dalam memerangi musuh yang tidak boleh dilihat ini. Kita semua telah dan akan terus menerima kesan daripada krisis ini. Sebab itu, kita mesti bersatu. Oleh itu, Malaysia amat mengalu-alukan penubuhan Taskforce NAM.

"Ia penting bagi membolehkan negara anggota NAM memiliki pangkalan data bersama sekali gus memudahkan kita mengenal pasti keperluan perubatan, sosial dan kemanusiaan," katanya dalam sidang kemuncak itu.

Pengerusi NAM yang juga Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev mempengerusikan sidang kemuncak di atas talian berkenaan.

Muhyiddin berkata, Malaysia turut menyambut baik inisiatif Azerbaijan mempromosikan nilai-nilai multilateralisme dalam memerangi wabak ini.

"Ada negara kecil, pendekatan tangani krisis Covid-19 setara malah lebih baik daripada negara yang lebih besar.

"Justeru, inilah masanya untuk negara-negara berkecuali buktikan kepada negara-negara kuasa besar bahawa dengan bersatu hati dan bekerjasama rapat, kita juga mampu tangani wabak ini dengan baik dan berkesan. Insya-Allah," katanya.

Dalam persidangan itu, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman Malaysia berhadapan Covid-19 dengan pendekatan seimbang antara kesihatan dan ekonomi.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 12:45 AM