PORTAL Perak Digital
PORTAL Perak Digital
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PERAK akan mewujudkan Bazar Aidilfitri dalam talian S.M.A.R.T Niaga @ Perak bagi memudahkan urusan berbelanja orang ramai bersempena Aidilfitri tahun ini.

Inisiatif berkenaan mendapat kerjasama dua syarikat pengendali platform e-dagang selain syarikat pengendali bayaran e-wallet.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, menerusi program itu, Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) akan bekerjasama dengan Shopee Malaysia (Shopee), Lazada Malaysia (Lazada) selain Axiata Digital Ecode Sdn Bhd dengan menggunakan aplikasi Boost.

Menurutnya, inisiatif itu dibuat berikutan keberkesanan inisiatif S.M.A.R.T Iftar @ Perak yang menggantikan bazar Ramadan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pengendali platform e-dagang terbabit akan mewujudkan satu halaman pendaratan (landing page) khas bagi peniaga di Perak yang berdaftar sekali gus membolehkan promosi dan jualan produk dilakukan hingga ke pasaran antarabangsa.

"Kerajaan negeri juga akan memberikan sokongan dengan beberapa insentif yang bakal diumumkan bagi menyokong kerjasama itu selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dibuat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, antara kategori menarik yang ditawarkan sempena Aidilfitri oleh kedua-dua platform e-dagang terbabit ialah pakaian, kuih, biskut raya, barang kecantikan dan perhiasan rumah.

Katanya, peniaga boleh mendaftar dengan S.M.A.R.T Niaga @ Perak melalui portal Digital Perak di pautan https://digital.perak.my/smartniaga dan pendaftaran dibuka sehingga hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 7:44 PM