PENIAGA makanan, Ahmad Nor Firdaus Nordin, 29 tahun.
PENIAGA makanan, Ahmad Nor Firdaus Nordin, 29 tahun.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PEMATUHAN prosedur operasi standard (SOP) ketika menjual makanan menjadi keutamaan tanpa kompromi.

Itu dipraktikkan peniaga, Ahmad Nor Firdaus Nordin, 29, yang berkata, dia sekeluarga bersyukur kerana kerajaan membenarkan peniaga kecil sepertinya kembali meneruskan perniagaan makanan sepanjang Ramadan ini.

"Keputusan itu sangat melegakan peniaga seperti saya. Sebelum ini kami berniaga di bazar Ramadan namun tidak dapat dilakukan tahun ini kerana Covid-19.

"Sejak berbelas tahun lalu saya akan membantu keluarga berniaga di bazar Ramadan namun tidak dapat meneruskan rutin tahunan itu kali ini.

"Kini, saya berniaga di gerai sejak semalam dan sentiasa memastikan SOP kebersihan, kesihatan dan penjarakan sosial dipatuhi selain memakai penutup mulut dan hidung serta menggunakan cecair nyah kuman," katanya yang berniaga di Simpang Balak, di Kajang.

Katanya, perniagaannya dibuka bermula jam 3 petang setiap hari dan bersyukur kerana sambutan menggalakkan diterima daripada masyarakat setempat.

Bagi peniaga murtabak, Mohd Azlan Putra Shamlan, 19, berkata, pelanggan mula membeli juadah popular itu bermula 2 petang.

Katanya, operasi perniagaan berjalan seperti biasa dan dianggarkan 500 murtabak dijual setiap hari.

"Ramadan ini memang berlainan kerana Covid-19 masih melanda negara namun sebagai peniaga kami mesti teruskan perniagaan demi kelangsungan hidup.

"Namun, arahan dan nasihat yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam pengendalian makanan sentiasa dipatuhi supaya kebersihan makanan terjamin," katanya.

Tahun ini, masyarakat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam ketiga dalam suasana normal baharu ini tanpa adanya bazar Ramadan seperti kelaziman.

Keputusan itu dibuat kerajaan bagi mengelakkan penularan pandemik maut yang sudah meragut lebih 100 nyawa di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 4:21 PM