Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Fadzil Hashim ( kanan) dan Datuk Nadzim Johan pada majlis penyerahan bantuan ‘Zero Hunger’ dengan kerjasama Gardenia Bakeries Sdn Bhd di Malakat Mall di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Fadzil Hashim ( kanan) dan Datuk Nadzim Johan pada majlis penyerahan bantuan ‘Zero Hunger’ dengan kerjasama Gardenia Bakeries Sdn Bhd di Malakat Mall di sini.
Samadi Ahmad

SEBANYAK 100,000 permohonan diterima melalui program 'Zero Hunger' tajaan Yayasan Brainy Bunch melalui kerjasama antara Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malakat Mall sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 permohonan sudah pun disampaikan kepada ketua isi rumah di seluruh negara.

Menurut beliau, sumbangan makanan itu diberikan kepada golongan B40 dan yang menerima gaji harian tidak mengira pelbagai bangsa dan agama ketika berhadapan dengan wabak Covid-19.

"Setakat ini pihak kami sudah mengumpul sumbangan berjumlah hampir RM 1juta dan akan diagihkan kepada penerima secara berperingkat," katanya pada majlis penyerahan bantuan 'Zero Hunger' dengan kerjasama Gardenia Bakeries Sdn Bhd di Malakat Mall di Cyberjaya, tadi.

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Bantuan bekalan makanan itu adalah hasil derma individu, korporat dan syarikat swasta yang menghulurkan bantuan ke dalam tabung berkenaan.

Sumbangan itu kemudian disalurkan 200 sukarelawan dari seluruh negara termasuk ahli Kelab Pacuan Empat Roda yang membantu menjayakan program itu.

Fadzil berkata, pihaknya turut mengadakan inisiatif tabung susu untuk kanak-kanak dari keluarga yang tidak mampu dan putus sumber pendapatan sepanjang PKP.

Menurut beliau, bantuan susu itu penting bagi perkembangan dan pembesaran kanak-kanak kerana sebelum ini pihaknya ada menerima aduan dari keluarga yang terputus sumber kewangan dan tidak mampu membeli bekalan susu untuk anak.

Sementara itu Nadzim berkata, pihaknya menyeru lebih banyak syarikat swasta dan perbankan membantu menghulurkan bantuan supaya tiada pihak yang kelaparan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 6:27 PM