KAMPUNG Sungai Jerneh di Lubok Cina, Alor Gajah sesuai untuk pembinaan Empangan Jerneh kerana terletak di kawasan lembah. FOTO Hassan Omar
KAMPUNG Sungai Jerneh di Lubok Cina, Alor Gajah sesuai untuk pembinaan Empangan Jerneh kerana terletak di kawasan lembah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


TAWARAN sebut harga Empangan Jerneh di Lubok Cina, Alor Gajah, bernilai RM200 juta akan dikeluarkan Bahagian Bekalan Air (BBA), Kementerian Alam Sekitar dan Air tidak lama lagi bagi membolehkannya dilaksanakan pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, projek itu yang bertujuan meningkatkan jumlah bekalan air di Melaka menerima peruntukan tambahan RM36 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada Februari lalu bagi melengkapkan keperluan kos RM200 juta.

"Oleh sebab projek itu sudah tertangguh sejak 2017, Makmal Kejuruteraan Nilai (VE) diadakan pada Julai 2019 mengesahkan ada pertambahan kos 22.5 peratus berbanding kos asal.

"Kos baharu sudah diluluskan adalah RM200 juta, termasuk kos pengambilan balik tanah dan insya-Allah ia akan dimulakan tahun ini serta dijangka siap dalam tempoh 30 bulan," katanya dalam kenyataan di Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata, projek berkenaan penting kerana mampu menakung 13,000 juta liter air dan membekalkan 100 juta liter air sehari kepada pengguna di seluruh Melaka.

Menurutnya, ia mampu mengatasi masalah pembekalan air untuk pengguna, terutama di sekitar Masjid Tanah, Tanjung Bidara, Kuala Sungai Baru, Lendu dan beberapa kawasan lagi yang terpaksa bergantung kepada air terawat dari Loji Rawatan Air Gadek di Alor Gajah sejauh 24 kilometer (km) dan Loji Rawatan Air Bertam sejauh 50.3 km.

"Perancangan untuk membina projek berkenaan dibuat pada 2004 dengan kerajaan negeri mengenal pasti kawasan seluas 480 hektar (kira-kira 1,200 ekar) di Mukim Sungai Siput, Ayer Pa'abas dan Ramuan China Kechil bagi menampung keperluan penduduk di Masjid Tanah dan sebahagian Alor Gajah.

"Bagaimanapun, cadangan itu tertangguh hingga 2012 berikutan bantahan penduduk, tetapi pada Ogos 2012, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meneruskan kajian semula pembinaannya di kawasan seluas 246.4 hektar (kira-kira 616 ekar) di ketiga-tiga mukim berkenaan.

"Kerajaan Persekutuan melalui keputusan Jemaah Menteri membatalkan projek berkenaan pada 2017 tetapi berdasarkan beberapa siri perbincangan dengan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan semula projek berkenaan pada Oktober 2018," katanya.

Kerajaan negeri Melaka melaksanakan catuan bekalan air di seluruh negeri sejak 29 Januari lalu hingga 1 April lalu berikutan penurunan taburan hujan di kawasan tadahan hujan menyebabkan penyusutan amat serius takungan air di tiga empangan utama iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin.

Catuan air dilakukan secara selang sehari itu menjejaskan kehidupan 80 peratus atau 735,221 isi rumah, termasuk kawasan perindustrian dan perhotelan di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 6:05 PM