KEDAI gunting rambut belum dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KEDAI gunting rambut belum dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Amir Abd Hamid


SETAKAT ini Malaysia masih tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi kerana ada laporan di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan premis itu dengan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan membabitkan kedai gunting rambut di kedua-dua negara maju berkenaan adalah di kalangan mereka yang menggunting rambut dan juga pelanggan.

"Kita memantau perkara ini dengan teliti dan sebelum kita membenarkan mungkin secara berperingkat nanti.

"Kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei dan dalam tempoh masa dua minggu kita akan memantau perkembangan kes sama ada terdapat peningkatan atau pun tidak

"Sebelum boleh kita membuka lebih lagi sektor atau pun bidang contohnya gunting rambut, kita akan memantau. Nasihat akan diberikan mengenainya kepada pentadbiran kerajaan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham memberikan reaksi berhubung gesaan supaya kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi.

Laporan muka depan Harian Metro bertajuk 'Sektor Sakit' disiarkan hari ini turut mendedahkan bahawa 70 peratus tukang gunting rambut berada dalam nyawa-nyawa ikan disebabkan kedai gunting rambut sehingga kini masih tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Akhbar Harian Metro turut mendedahkan hampir separuh pemilik hotel di negara ini mempertimbangkan untuk menutup premis mereka sama ada secara kekal atau sementara berikutan tidak dapat bertahan dalam persekitaran mencabar akibat pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 6:39 PM