POLIS merampas dadah jenis ganja seberat 2.4 gram dan 23 biji pil Eramin 5 dalam kejadian di Taman Desaru Utama, Kota Tinggi. FOTO Ihsan polis Johor
POLIS merampas dadah jenis ganja seberat 2.4 gram dan 23 biji pil Eramin 5 dalam kejadian di Taman Desaru Utama, Kota Tinggi. FOTO Ihsan polis Johor
Nurul Amanina Suhaini

POLIS menahan empat lelaki tempatan selepas didapati lari dari sekatan jalan raya dalam kejadian di sebuah hotel di Taman Desa Utama, Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.05 pagi itu, semua yang berusia 23 hingga 24 tahun ditahan 30 minit selepas kejadian.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Penawar membuat penahanan itu di sebuah hotel kerana terbabit dalam kes melanggar sekatan jalan raya di Kilometer 49.5 Lebuhraya Senai - Desaru, Kota Tinggi.

"Suspek diburu oleh Team Task Force Covid-19 selepas kejadian hingga ke hotel terbabit.

"Ketika tangkapan dibuat, polis merampas sebuah kereta jenis Toyota Camry, selain dadah jenis ganja seberat 2.4 gram dan 23 biji pil Eramin 5.

"Siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai bagi kegunaan sendiri, selain semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja) dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut, selain direman selama empat hari mulai hari ini sehingga 10 Mei ini.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai dua tahun atau denda boleh sampai RM 10,000 atau kedua-duanya.

"Kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 29, Akta Polis 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 200, selain Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

"Kes boleh disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C), Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 6:53 PM