SEBAHAGIAN golongan gelandangan yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara susulan Covid-19 mengambil pek minum petang di Pusat Komuniti Sentul Perdana. FOTO ASYRAF HAMZAH
SEBAHAGIAN golongan gelandangan yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara susulan Covid-19 mengambil pek minum petang di Pusat Komuniti Sentul Perdana. FOTO ASYRAF HAMZAH
Redzuan Muharam


SEBAHAGIAN daripada 800 gelandangan di sekitar ibu kota yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpeluang menjalani proses temu duga kerja bermula hari ini hingga Selasa depan.

Inisiatif itu dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui jawatankuasa khas gelandangan dianggotai agensi kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Gaji permulaan sebanyak RM1,400 berserta elaun ditawarkan bagi gelandangan yang diterima bekerja untuk jawatan operator pengeluaran kilang.

Mereka turut berpeluang bertugas sebagai pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan gaji harian yang membolehkan mereka menerima kira-kira RM1,200 sebulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melahirkan kesyukuran kerana gelandangan menyahut seruan pihaknya untuk memulakan kehidupan baru.

Menurutnya, sementara menunggu untuk mula bekerja, gelandangan akan dipindahkan ke dua asrama yang disediakan DBKL dan syarikat yang bakal menggajikan mereka.

"Saya amat bersyukur mereka sahut seruan saya untuk memulakan hidup baharu.

"Semoga dengan berkat Ramadan kita semua beroleh keampunan dan keredaan Allah SWT," katanya.

Terdahulu, Annuar berkata, KWP akan mewujudkan dana khas berjumlah RM1 juta bagi menjaga kebajikan golongan gelandangan di sekitar ibu kota.

Dana itu diperuntukkan bagi tujuan perubatan, perkhidmatan kaunseling, penyediaan kemudahan dan peluang pekerjaan kepada golongan gelandangan dalam usaha supaya Kuala Lumpur dapat dibersihkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 8:04 PM