Mohd Amin Jalil


POLIS menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok selepas menahan 12 individu dan merampas 21,750 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.7 juta di sekitar Seremban, Selasa lalu.

Turut dirampas, empat kenderaan membabitkan dua Toyota Alphard serta sebuah Proton X70 dan Mitshubishi Triton, selain satu unit komputer riba, dua unit mesin juruwang dan 24 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, polis membuat empat serbuan bermula 10.30 malam Selasa lalu.

"Serbuan pertama dilakukan di rumah di Seremban 2 dan hasil pemeriksaan menjumpai satu unit komputer riba di ruang tamu rumah berkenaan.

WANG tunai dan rokok seludup dirampas daripada suspek di Seremban. FOTO IHSAN POLIS
WANG tunai dan rokok seludup dirampas daripada suspek di Seremban. FOTO IHSAN POLIS

"Selain itu, 50 kotak besar mengandungi rokok jenama RE King, RE Bold ditemui diletakkan di dalam Toyota Alphard dan seorang penghuni rumah iaitu lelaki berusia 25 tahun ditahan," katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.

Mohamad berkata, hasil siasatan lanjut, polis menyerbu rumah di Taman Bukit Kepayang, Seremban yang disyaki menjadi tempat tinggal sindiket terbabit.

Beliau berkata, pihaknya merampas beg pakaian warna hitam mengandungi wang tunai RM547,153 selain dua mesin juruwang dan pikap Mitsubishi Triton serta Proton X70.

Katanya, selain itu, 24 unit telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas. Seramai 11 lelaki warga tempatan berumur antara 18 hingga 29 tahun ditahan.

"Serbuan ketiga dilakukan di Park Evenue Seremban yang membawa kepada rampasan 133 kotak besar membabitkan rokok pelbagai jenama.

kenderaan yang dirampas daripada suspek di Seremban. FOTO IHSAN POLIS
kenderaan yang dirampas daripada suspek di Seremban. FOTO IHSAN POLIS

"Berpandukan suspek ditahan itu, serbuan berikutnya dilakukan di S2 Heights Seremban dan menemui 289 kotak rokok pelbagai jenama.

"Jumlah keseluruhan rokok dirampas sebanyak 435 kotak besar dengan nilai keseluruhannya RM1.7 juta," katanya.

Beliau berkata, semua 12 suspek berusia antara 18 hingga 29 tahun itu kini ditahan reman sehingga 11 Mei ini di lokap IPD Seremban bagi tujuan siasatan di bawah kesalahan Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sindiket itu mula beroperasi di semua lokasi serbuan hampir enam bulan dengan menyasarkan peniaga di sekitar Negeri Sembilan.

"Sehubungan itu, masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dengan bertindak sebagai 'mata dan telinga' kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menyalurkan segala maklumat berkaitan kegiatan jenayah.

"Jika terdapat sebarang aktiviti atau kejadian tidak diingini membabitkan kes jenayah, laporkan segera kepada polis supaya tindakan dapat diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 3:25 PM