Anggota APM meredah banjir dalam kediaman penduduk selepas banjir melanda Betong sejak malam tadi. Foto Ihsan APM
Anggota APM meredah banjir dalam kediaman penduduk selepas banjir melanda Betong sejak malam tadi. Foto Ihsan APM
Mohd Roji Kawi
[email protected]metro.com.my

SEBANYAK 650 keluarga di enam kampung di Debak di Betong terjejas kerana banjir yang melanda sejak malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, kampung terbabit ialah Babu Hilir membabitkan 103 keluarga, Kampung Babu Hulu (101), Kampung Bungey Hilir (133), Kampung Bungey Hulu (85), Kampung Lalang Hilir (88) dan Kampung Lalang Hulu (140).

Menurutnya, kejadian itu berlaku kerana limpahan air Sungai Rimbas disebabkan hujan lebat sejak petang semalam.

"Keadaan menjadi lebuh buruk apabila paras air sungai meningkat disebabkan hujan lebat sejak semalam dan bertembung pula dengan air pasang besar.

"Pemindahan penduduk mungkin dilakukan namun keputusannya bergantung kepada perbincangan Pegawai Tadbir Daerah dengan ketua masyarakat di kawasan ini," katanya.

Ismail berkata, pemantauan pihaknya pagi ini mendapati trend air Sungai Rimbas menunjukkan peningkatan.

"Ini menyebabkan kawasan rumah dan jalan raya dinaiki air sedalam 0.5 meter.

"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini dikerah membantu penduduk memindahkan barang ke tempat tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 12:13 PM