Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


MALAYSIA berada di tangga keempat daripada 105 negara berkaitan kepuasan hati rakyat terhadap usaha dilakukan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Ia berdasarkan kajian dilakukan sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan itu juga hasil usaha dan pengorbanan semua pihak terutama petugas barisan hadapan.

"Saya juga nak merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara saudari sekalian seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga memudahkan petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

MUHYIDDIN beramah mesra bersama YouTuber Masakan, S Pavithra (dua, kanan) bersama suaminya M Sugu (kanan) pada majlis pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan Setem khas Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN beramah mesra bersama YouTuber Masakan, S Pavithra (dua, kanan) bersama suaminya M Sugu (kanan) pada majlis pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan Setem khas Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. FOTO Bernama

Muhyiddin turut berkongsi kadar kesembuhan pesakit Covid-19 yang tinggi dengan 4,929 atau 74.8 peratus pesakit pulih sehingga semalam.

Beliau memuji disiplin terbaik rakyat yang mematuhi arahan kerajaan sepanjang tujuh hari PKPB bermula 4 Mei lalu.

"Alhamdulillah, saya lihat pelaksanaan PKPB berjalan dengan lancar dan teratur. Tidak berlaku kesesakan luar jangka di stesen-stesen pengangkutan awam, di dalam LRT, MRT, bas, restoran dan lain-lain.

"Nampaknya, rata-rata rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan. Sektor ekonomi juga mula dibuka, mereka terkandas sudah pulang dan dianggarkan 6.64 juta atau 43.6 peratus pekerja kembali bekerja," katanya.

Katanya, dengan operasi sektor industri dan perniagaan itu diharap merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.


Berita berkaitan:

  • 'Terima kasih saudara saudari...'
  • 'Jika SOP teratur, masjid sedia untuk dibuka'
  • Suami isteri tinggal berjauhan boleh rentas negeri
  • Hanya 4 kawasan merah
  • Permohonan BPN tidak lulus, boleh rayu lagi
  • Beraya dalam negeri sahaja
  • PKPB dilanjutkan 4 minggu
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:35 PM