KELUARGA Sofiyatul Akma mengemas rumah selepas dibenarkan pulang. FOTO IHSAN PEMBACA.
KELUARGA Sofiyatul Akma mengemas rumah selepas dibenarkan pulang. FOTO IHSAN PEMBACA.
Noor Hidayah Tanzizi


"AIR mula masuk ke dalam rumah kira-kira 10 minit selepas berbuka puasa dan kami terus tinggalkan makanan untuk mengemas barang," kata Sofiyatul Akma Abdul Rahim, 34.

Sofiyatul Akma antara 34 mangsa membabitkan sembilan keluarga dari Kampung Tersusun dan Taman Anggerik, Beruas di Manjung yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas selepas terjejas akibat banjir kilat, semalam.

Bagaimanapun, PPS berkenaan ditutup pada 10 pagi hari ini selepas air sudah surut sepenuhnya.

Menurut Sofiyatul Akma, dia sudah tidak sedap hati dan menyangka akan berlaku banjir kilat apabila hujan lebat sejak petang semalam.

"Kami baru saja berbuka puasa, malah nasi juga belum sempat habis dimakan. Di bahagian hadapan rumah air naik setinggi 0.1 meter manakala di dapur pula kira-kira 0.3 meter kerana kawasan dapur kedudukannya lebih rendah.

"Tanpa berlengah saya sekeluarga terus kemas barang dan segera ke pusat pemindahan. Kami dapat makan semula pada 11 malam tadi dan ini kejadian kedua berlaku pada Ramadan termasuk dua tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia kini sibuk mengemas rumah selepas dibenarkan pulang pagi tadi, namun masih risau jika banjir berulang lagi kerana cuaca ketika ini mendung.

"Saya harap banjir kilat tidak berlaku lagi kerana kami sudah mengemas rumah dan hari raya juga semakin dekat," katanya yang tinggal di Kampung Tersusun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, pemantauan mendapati banjir sudah surut sepenuhnya dan kediaman semua mangsa juga selamat untuk diduduki.

"Justeru, PPS di SK Beruas sudah ditutup secara rasmi pada 10 pagi ini dan semua penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan hujan lebat menyebabkan banjir kilat melanda di Taman Anggerik, Beruas yang menjejaskan 27 mangsa membabitkan lima keluarga, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 4:12 PM