GAMBAR hiasan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
GAMBAR hiasan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohd Roji Kawi


SARAWAK bersetuju melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataannya berkata, bagi sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi mulai Selasa ini pula, garis panduan yang disediakan akan terus diguna pakai sehingga 9 Jun ini.

Katanya, JPBN sudah mengarahkan semua Residen untuk memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap semua sektor ekonomi yang dibuka pada 12 Mei ini.

"Berikutan lanjutan tempoh PKPB itu, mesyuarat Pasukan Pemantauan Pematuhan PKPB akan diadakan di setiap bahagian diadakan di negeri ini.

"Pasukan itu diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dianggotai semua agensi penguatkuasaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam Maalysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," ," katanya, hari ini.

Sementara itu, Sarawak hari ini merekodkan satu lagi kes positif baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan sebanyak 543 kes positif setakat ini.

"Sepuluh kes pula disahkan sembuh hari ini dan discaj dari hospital dengan kesemua kes daripada Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19, sebanyak 66.30 peratus atau 360 kes disahkan sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Ketika ini, seramai 163 pesakit Covid-19 dirawat di empat hospital iaitu HUS, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

Daripada jumlah itu, tiga kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 8:13 PM