NOOR Azmi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
NOOR Azmi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SEJAUH mana pematuhan rakyat dalam dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadi persoalan utama yang perlu diberi perhatian, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, rakyat perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM), terutama membabitkan pekerja industri sebagai usaha bersama menangani penularan Covid-19.

"Apa yang membimbangkan kerajaan apabila pekerja industri dilepaskan (kembali bekerja), ditambah pula dengan kepulangan pelajar dan rakyat dari luar negara ke tanah air.

"Paling utama, sejauh mana kita melihat rakyat patuh SOP yang disarankan kerajaan melalui perlaksanakan (perlanjutan) PKPB ini," katanya ketika ditemui selepas program Iftar Ramadan Drive Thru di Bagan Serai, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Azmi berkata, beliau yakin lanjutan PKPB sehingga 9 Jun yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, memberi ruang pada kerajaan dan KKM memperkemaskan usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Katanya, tempoh lanjutan PKPB selama sebulan itu juga sebenarnya memberi keselesaan kepada kerajaan untuk menghidupkan kembali ekonomi negara dan dalam masa sama bersama KKM memerangi penularan Covid-19.

"Keputusan yang diumumkan Perdana Menteri amat tepat dan bagi jangka masa panjang, ia membolehkan kerajaan dan KKM memperkemaskan lagi gerak kerja dari pelbagai sudut dalam usaha mengekang wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 8:43 PM