NOOR Azmi (dua kanan) menyantuni petugas barisan hadapan Hospital Parit Buntar. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
NOOR Azmi (dua kanan) menyantuni petugas barisan hadapan Hospital Parit Buntar. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dan melakukan ujian saringan terhadap kontak daripada dua beradik di Perak yang disahkan positif Covid-19, semalam.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kes terbaharu itu membuatkan Perak bukan lagi Zon Hijau dan dua beradik berkenaan sudah diasingkan untuk rawatan.

Menurutnya, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak kini sedang menjalankan siasatan berhubung punca dua beradik itu dijangkiti wabak berkenaan.

"Sudah pasti apabila terdapat kes-kes (Covid-19) baru, pihak KKM akan bertindak segera melakukan pengasingan, ujian saringan, rawatan dan mengesan kontak-kontak dari pesakit yang positif.

"Bagi kes dua beradik ini, Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengasingkan mereka dan kini kedua-duanya sedang dirawat.

"Pada masa sama siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti dari mana punca jangkitan berlaku," katanya selepas menyerahkan 104 pek juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan Hospital Parit Buntar, di sini, hari ini.

Portal berita Harian Metro, semalam melaporkan Perak kembali mencatatkan kes Covid-19 dengan dua kes terbaharu membabitkan dua beradik dari Sitiawan yang dijangkiti wabak itu.

Dua kes berkenaan dilaporkan selepas 11 hari negeri terbabit bebas daripada kes aktif wabak Covid-19.

Dua beradik berkenaan adalah warga tempatan berusia 29 dan 30 tahun.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), dan ujian Rapid Test Kit (RTK) Antibody wajib dilakukan bagi pekerja kilang yang kini mula bekerja semula.

"Ujian RT-PCR oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini penting kerana ianya dapat mengesan virus berbanding ujian biasa yang hanya mengesan suhu badan.

"Justeru, KKM berpendapat ujian RT-PCR ini wajib dijalankan kepada semua pekerja kilang yang mula masuk bekerja bagi memastikan Covid-19 dapat dikawal dan tidak menjangkiti pekerja lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 6:40 PM