GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan terus menyumbang kepada pertambahan bilangan kes baharu Covid-19 apabila merekod 16 kes, setakat 12 tengah hari ini.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dalam laporannya mendedahkan kes itu membabitkan lapan kes di Seremban dan lapan lagi di stesen kuarantin.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Negeri Sembilan meningkat kepada 742 kes.

Daripada 16 kes baharu yang dilaporkan itu, lapan daripadanya kes import kluster pesantren membabitkan pelajar yang pulang dari Indonesia dan ditempatkan di stesen kuarantin di Negeri Sembilan.

Rembau menjadi satu-satunya daerah di negeri ini yang berstatus zon merah susulan kluster baharu Covid-19 yang membabitkan kilang memproses ayam di Pedas.

Tiga daerah zon kuning iaitu Seremban, Jempol dan Port Dickson manakala zon hijau pula membabitkan Tampin, Kuala Pilah dan Jelebu.

Keseluruhan kumulatif kes setakat ini, Seremban merekodkan sebanyak 357, Rembau (184), Tampin (19), Jempol (14), Port Dickson (12), Kuala Pilah (6) dan Jelebu (2) manakala stesen kuarantin sebanyak 148.

Kes yang sembuh setakat ini berjumlah 417 manakala kematian kekal lapan kes iaitu membabitkan Seremban seramai enam orang, diikuti masing-masing satu di Rembau dan Kuala Pilah.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Rembau sudah melakukan program sanitasi atau nyah kuman di kilang ayam di Pedas pada 8 Mei lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, semburan membabitkan keseluruhan kilang berkenaan.

"Kita sudah membuat aktiviti nyah kuman di kilang ayam berkenaan sebaik mendapat maklumat terdapat kakitangan di situ positif Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 11:55 PM