Syaherah Mustafa


KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Begitulah pengorbanan seorang bapa berusia 80 tahun kerana sanggup menjaga anak lelaki yang hilang ingatan akibat kemalangan sejak lebih 20 tahun lalu.

Muda Salleh, menjaga anaknya, Zulkifli Muda, 42, sendirian selepas kematian isteri 10 tahun lalu akibat serangan angin ahmar di sebuah rumah serba daif dengan sewa RM70 sebulan di Kampung Cabang Tiga Bagus, di Rantau Panjang.

Kehidupan dua beranak itu jelas menunjukkan kasih bapa yang tiada penghujung apabila Muda, yang sudah tidak berdaya setiap hari memastikan anaknya diberi makan dan minum selain memastikan sentiasa berada dalam keadaan terurus.

Muda berkata, anaknya boleh mandi sendiri, malah ada kalanya membantu dia melakukan kerja rumah seperti menyapu dan menyidai kain, namun perlu sentiasa diperhatikan termasuk diberi ubat setiap hari.

"Saya terpaksa mengunci rumah setiap masa kerana bimbang dia keluar dan tidak tahu jalan pulang. Dia selalu meminta wang seringgit untuk ke kedai berdekatan bagi membeli minuman kegemarannya iaitu air kopi.

"Biasanya, saya yang memimpin dia untuk keluar seolah-olah membawa anak kecil. Pernah terjadi ketika sedang berjalan, saya jatuh kepenatan. Dia hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa kerana keadaannya yang tidak dapat berfikir secara baik.

"Bagaimana pun, saya tidak pernah menyalahkan anak saya, kerana sudah takdir nasibnya begini. Selagi kudrat masih ada saya cuba menjaganya setakat yang termampu, namun ada masanya risau nasibnya jika saya sudah tiada suatu hari nanti," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Muda memberitahu, dia sudah tidak mampu bekerja dan hanya mengharapkan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 untuk mereka dua beranak.

Malahan, warga emas terbabit sempat meluahkan rasa sedih pernah berpindah dari rumah sewa yang lama kerana tidak mampu membayarnya.

Situasi itu berlaku lagi apabila dia kini mengalami tunggakan sewa rumah selama 10 bulan.

"Sejujurnya, saya risau dengan nasib kami, namun sentiasa berdoa agar dipermudahkan segala urusan.

"Malah, setiap kali saya berbasikal melalui pekan Rantau Panjang ini, ada sahaja penduduk yang membantu dan bersedekah.

"Anak saya ini adalah kekuatan untuk saya terus bertahan, biarpun dia sudah berusia, kasih sayang saya padanya tidak pernah luntur malah seperti kali pertama saya melihatnya lahir ke dunia.

"Harapan dan doa saya setiap hari semoga anak saya dapat pulih seperti biasa supaya boleh menguruskan dirinya, jika saya sudah tiada nanti," katanya yang dahulunya bekerja mengambil upah mengangkat barang di Pekan Rantau Panjang.

Tambah Muda, setiap hari dia membeli makanan di kedai berdekatan, namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan, dia memasak sendiri sekadar yang termampu seperti membuat sardin dan telur goreng.

Nasib dua beranak itu turut mendapat perhatian wakil Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar,yang hadir menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.

MUDA Salleh, 80, bapa tunggal yang terpaksa menjaga anak yang hilang ingatan. FOTO Syaherah Mustafa
MUDA Salleh, 80, bapa tunggal yang terpaksa menjaga anak yang hilang ingatan. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 8:36 AM