RUMAH yang terjejas akibat banjir di Data Kakus, Tatau. FOTO Ihsan Bomba
RUMAH yang terjejas akibat banjir di Data Kakus, Tatau. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


DUA kawasan di pedalaman Sarawak dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Kawasan terjejas itu ialah Punan Ba di Belaga yang dinaiki air sejak pagi tadi dan Data Kakus di Tatau yang dilanda banjir sejak semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, berdasarkan laporan yang diterima petang ini, air masih belum memasuki kediaman penduduk di Punan Ba.

"Bagaimanapun, limpahan air Sungai Rajang itu dikhuatiri terus meningkat berikutan hujan yang berterusan di kawasan hulu sungai," katanya.

Difahamkan, pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) turut melepaskan air di Empangan Hidro Elektrik Bakun, bagi mengawal paras air di empangan berkenaan.

Sementara itu, di Data Kakus, Tatau dalam Bahagian Bintulu, beberapa kediaman penduduk dinaiki air selepas hujan lebat berterusan.

Ling Hii berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu sudah dikerah ke lokasi berkenaan pada jam 7 pagi tadi.

"Difahamkan banjir sudah melanda kawasan itu sejak dua hari lalu dan kini anggota kami memantau keadaan di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:46 PM