DR Ramlah
DR Ramlah
hmdigital

SEMUA pihak perlu menerima keputusan pelantikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka yang baharu kerana prosedur lantikan dilakukan secara sah.

Pakar Sejarah dan Perlembagaan, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, lantikan Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka kelmarin, mengikut Undang-undang Tubuh Negeri serta Peraturan Mesyuarat seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, kelmarin.

Katanya, dakwaan kononnya kaedah pelantikan itu tidak sah adalah tidak benar kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Perikatan Nasional (PN) menjadi majoriti dalam Dun Melaka ketika ini.

"Saya difahamkan tiada seorang pun Adun pembangkang ketika undian dibuat, namun ia tidak menjadi masalah kerana jika mereka (pembangkang) ada pada ketika itu pun, usul yang dikemukakan oleh pihak kerajaan akan menang.

"Bagi saya, kerajaan negeri menerusi Penasihat Undang-Undang (Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas) sudah pasti melakukan yang terbaik untuk melancarkan perjalanan Sidang Dun kali ini kerana ia adalah berkaitan undang-undang dan bukan perkara yang boleh dipermainkan," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, Speaker sebelum ini, Datuk Wira Omar Jaafar sepatutnya meletak jawatan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dan negeri tumbang pada Februari lalu.

"Apabila berlaku pertukaran kerajaan, sudah pasti kerajaan semasa akan melantik Speaker dalam kalangan pihak yang cenderung kepadanya.

"Kenapa dia mahu meneruskan khidmat kepada pihak yang tidak melantiknya. Sepatutnya dia (Omar) letak jawatan dan bersama dengan kerajaan PH Melaka (yang tumbang pada awal Mac lalu)," katanya.

Beliau mengulas kekecohan yang berlaku pada Sidang Dun Melaka, pagi kelmarin, susulan cadangan pertukaran Speaker oleh wakil rakyat kerajaan yang diterajui PN.

Omar yang didakwa sudah hilang sokongan majoriti menolak usul yang dikemukakan dan memutuskan untuk menangguhkan persidangan hingga ke satu tarikh kelak.

Bagaimanapun, wakil rakyat kerajaan kemudian meneruskan Sidang Dun dengan dipengerusikan sementara oleh Datuk Wira Ghazale Muhamad (BN-Rim) tanpa kehadiran wakil pembangkang dan melantik Ab Rauf sebagai Speaker yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:01 AM