GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


JUMLAH kes jangkitan Covid-19 di Selangor bertambah baik apabila daerah Gombak yang sebelum ini berada di zon merah sudah bertukar ke zon kuning semalam.

Penurunan kes aktif di daerah Gombak itu sekaligus menjadikan Petaling satu-satunya daerah yang masih berada dalam zon merah dengan 61 kes aktif.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di laman web Menteri Besar, Gombak merekodkan 35 kes aktif sehingga 12 tengah hari semalam berbanding 55 kes kelmarin dan secara keseluruhan, daerah berkenaan merekodkan 234 kes jangkitan.

Selain itu, mukim Batu yang berada di zon itu kelmarin mengalami penurunan kes aktif dan kini tergolong dalam zon kuning.

"Hari ini (semalam) Mukim Batu sudah bertambah baik daripada zon merah (49 kes aktif) kepada zon kuning (29 kes aktif).

"Perkembangan ini juga mempengaruhi Daerah Gombak yang mana ia turut bertambah baik kepada daerah zon kuning. Hal ini menjadikan Selangor sekali lagi mencatatkan satu sahaja daerah berstatus zon merah iaitu Petaling.

"Mukim Hujung Permatang juga bersih daripada kes aktif yang menjadikannya berstatus zon hijau. Tahniah buat semua warga Selangor!" katanya.

Sementara itu, tiga kes baharu dilaporkan semalam dan menjadikan jumlah keseluruhannya bertambah kepada 1,610.

"Graf kes baharu kelihatan sudah dilandaikan dengan taburan data kesyang stabil rendah namun perlu diingatkan bahawa virus COVID-19 masih wujud di sekeliling kita.

"Pembawa virus yang tidak bersimptom (asymptomatic) masih lagi ancaman buat kita justeru warga Selangor masih lagi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD)," katanya.

Berdasarkan info grafik yang dikongsi, daerah Kuala Langat masih memegang status zon hijau selepas tiada lagi kes aktif dikesan sejak Khamis lalu.

Lima daerah lain yang masih berada dalam zon kuning adalah Hulu Langat (31), Klang (11), Kuala Selangor (3), Hulu Selangor (9), Sepang (1) dan Sabak Bernam (1).

Sehingga kini, terdapat 152 kes aktif, 1,359 kes sembuh dan 21 kematian direkodkan di Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 11:39 AM