ZIARAH-menziarahi ketika hari raya dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Arkib NSTP
ZIARAH-menziarahi ketika hari raya dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

KENANGAN ketika Hari Raya Aidilfitri 2020 dijangka dibukukan atau pun dialbumkan oleh masyarakat kerana tahun ini mungkin kali pertama dan terakhir melihat keunikan disambut dengan kekangan akibat Covid-19.

Pakar sosial Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, Malaysia pada era siber mempunyai banyak kemudahan teknologi untuk membolehkan berhubung secara langsung dengan keluarga, rakan dan saudara-mara.

Beliau menyatakan keyakinan walaupun peraturan sudah ditetapkan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari raya tetap meriah tetapi dengan kaedah yang berbeza.

"Saya yakin suasana, inovasi dan kreativiti baharu akan dicipta masyarakat. Keceriaan dan kegembiraan dalam menyambut atau pun menunggu Aidilfitri menjelang dalam masa yang terdekat ini adalah hampir sama seperti kita rasa tahun sebelum ini.

"Cuma kaedah penganjuran, pelaksanaan atau pun penghayatan kita tahun ini akan sedikit berbeza," katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, pada musim Covid-19 ini mungkin juga ada segelintir masyarakat yang akan meletakkan notis di pintu pagar rumah tidak menerima pelawat.

Katanya, apa sahaja tindakan jaga diri itu adalah sebabnya semua tidak mahu wujudnya satu kluster baharu iaitu kluster Aidilfitri.

DR Mohammad Shatar
DR Mohammad Shatar

"Kerajaan sudah pun memutuskan bahawa perjumpaan besar-besaran tidak dibenarkan. Maksimum dibenarkan perjumpaan sewaktu ziarah pun hanya 20 orang pada satu masa dengan mematuhi segala SOP ditetapkan.

"Pastinya raya tahun ini akan meninggalkan beribu-ribu kenangan manis dalam kalangan masyarakat dengan inovasi tertentu supaya kemeriahan tetap dirasai. Sejarah ini akan mereka simpan untuk dikenang kembali," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei lalu dalam perutusan khasnya umumkan PKPB bersambung hingga 9 Jun depan, turut menyentuh mengenai amalan ziarah-menziarahi sewaktu perayaan.

Beliau berkata, ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga tinggal dalam negeri yang sama namun syaratnya dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Namun, Perdana Menteri menegaskan bahawa larangan pergerakan antara negeri masih dikuatkuasakan dalam tempoh berkenaan termasuk balik kampung untuk berhari raya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 3:25 PM