FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PADAH ingin bergelar 'raja jalanan', empat individu yang menguji kelajuan kereta masing-masing di Lebuhraya Bertingkat Ampang- Kuala Lumpur (AKLEH) di Kuala Lumpur, ditahan polis, semalam.

Operasi bermula 11 malam itu diketuai ASP Risikan Operasi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Ahmad Diad Mahmod.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, hasil risikan, dua kereta Proton Satria dan Proton Putra dilihat mempamerkan aksi seperti sedang berlumba.

"Kedua-dua pemandu berkenaan memandu secara bahaya dengan membuat aksi 'zig zag' dan kejar-mengejar seperti berlumba.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati, kedua-dua kereta itu baru lepas diubah suai dengan menambah kelajuan dan mereka ingin menguji kelajuan di lebuh raya berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, empat individu termasuk dua penumpang yang berusia antara 18 hingga 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Dua individu yang ditahan itu bekerja sebagai mekanik, manakala dua penuntut universiti swasta dan peniaga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:33 PM