RAJA Salman Abdulaziz Al-Saud. FOTO Khairul Azry Bidin
RAJA Salman Abdulaziz Al-Saud. FOTO Khairul Azry Bidin
Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN Arab Saudi menyumbang peralatan perubatan untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani penularan wabak Covid-19.

Berita itu dikongsikan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam pertemuan di Wisma Putra di Putrajaya, hari ini.

Semua peralatan perubatan itu akan disalurkan melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre , termasuklah 5 juta unit topeng muka untuk pembedahan, 1 juta unit pelitup muka N95, 741,840 jumpsuit, 300,000 unit pelindung muka, 200,000 unit penutup kepala, dan 200,000 unit pakaian perlindungan diri.

Turut disumbangkan 100,000 unit penutup kasut, 150 ventilator boleh ubah, 100 ventilator tidak invasif (NIV) dan 80 ventilator unit rawatan rapi.

Dalam satu kenyataan, Hishammuddin berkata, secara keseluruhan kerajaan Arab Saudi menyumbang sebanyak 7,542,170 unit peralatan perubatan kepada Malaysia.

"Buat masa ini, 1 juta pelitup muka N95 sudah tiba ke Malaysia dan diserahkan kepada KKM. Lain-lain peralatan perubatan akan sampai ke Malaysia secara berperingkat.

"Sesungguhnya, perkenan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan kesanggupan kerajaan Arab Saudi membantu Malaysia dalam perkara ini membuktikan keakraban hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Bagi pihak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia, saya amat berterima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota merangkap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

"Begitu juga, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud dan seluruh kepimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi. Didoakan, semoga hubungan baik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara ini terus utuh dan berkekalan, Insya-Allah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:52 PM