AHMAD Saidi menyerahkan set lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) yang disiapkan Penjara Marang kepada Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) Dr Noor Zaitun Yahaya di Penjara Marang.FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AHMAD Saidi menyerahkan set lengkap peralatan perlindungan diri (PPE) yang disiapkan Penjara Marang kepada Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) Dr Noor Zaitun Yahaya di Penjara Marang.FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


SESI perjumpaan khas penghuni bersama keluarga sempena Aidilfitri tidak dijalankan di Penjara Marang pada tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah berkata, sesi perjumpaan secara berhadapan di antara ahli keluarga bersama penghuni tidak dibenarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

"Sepanjang tempoh itu, pelawat tidak dibenarkan berjumpa dengan penghuni secara berhadapan.

"Pelawat atau ahli keluarga yang ingin berhubung dengan penghuni di penjara melalui aplikasi Skype perlu memaklumkan lebih awal kepada pihak penjara sebelum datang," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di Penjara Marang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff; Presiden MyCAS, Dr Noor Zaitun Yahaya dan Naib Presiden MACMA, Datin Norhana Ng.

Ahmad Saidi berkata, Penjara Marang biasanya menganjurkan sesi perjumpaan khas penghuni bersama keluarga sempena Aidilfitri pada Hari Raya ketiga pada setiap tahun.

"Cuma tahun ini program seperti itu tidak boleh dijalankan dan orang ramai terutama ahli keluarga terdekat kepada penghuni perlu faham dan bersabar.

"Kami faham kerinduan dalam kalangan keluarga dan penghuni, namun terpaksa akur dengan arahan PKPB untuk kebaikan bersama susulan penularan Covid-19, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 8:39 PM