BERNAMA

SEMBILAN sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kedai dua tingkat didiami mereka Kampung Beladau Kolam di Kuala Terengganu, terbakar, malam tadi.

Menurut mangsa, Suliani Sulong, 35, kebakaran 9.30 malam itu bukan sahaja menyebabkan mereka hilang tempat tinggal, malah punca pendapatan terjejas kerana kedai bakeri, kedai makan, kedai runcit dan tempat pemprosesan ayam yang diuruskan keluarga mereka di bangunan sama, hangus.

"Kebakaran bermula dari sebuah bilik dan disedari seorang abang saya. Sebelum ketibaan pasukan bomba, ada ahli keluarga yang cuba memadam kebakaran, namun gagal," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Tambah Suliani, ketika kejadian, dia bersama ibu dan seorang adiknya menonton televisyen di bahagian tengah rumah.

Ketika kejadian, empat daripada sembilan penghuni tiada di rumah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Mohd Basri Kamarazaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10 malam.

Beliau berkata, 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Wakaf Tapai dan Kuala Berang digerakkan ke lokasi kejadian.

"Ketika bomba tiba di lokasi, api sedang marak. Pihak kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran," katanya yang turut menegaskan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 9:36 AM