BERNAMA

"KAMI hanya orang biasa, tidak pernah berharap akan dapat hadiah daripada Perdana Menteri, terima kasih," demikian dikongsi pasangan YouTuber suami isteri yang menggunakan nama 'Sugu Pavithra.'

S Pavithra, 28, berkata dia dan suami M Sugu, 29, menerima hadiah istimewa daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin lima hari lalu, antaranya tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.

Menurut Pavithra yang tinggal di kuarters ladang swasta di Sungai Siput, mereka turut menerima sekeping kad ucapan daripada pemimpin nombor satu negara itu dan ia diabadikan dalam bingkai gambar.

Ucapan pada kad itu yang bertulis tangan dan dikongsikan kepada Bernama tertera: "Dengan ingatan tulus ikhlas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keep up the good work, just stay at home" (Teruskan usaha yang baik, duduk di rumah sahaja).

"Semasa ada orang datang hantar ke rumah, saya tidak percaya kerana siapalah saya, sampailah akak (wartawan Bernama) telefon saya untuk bertanya hadiah telah diterima atau belum," katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh, hari ini.

Pavithra yang berasal dari Buntong di sini berkata, dia dan suami menggunakan tripod itu untuk temu ramah secara panggilan video terutama ketika 'live', namun untuk memasak di dapur mereka masih menggunakan cawan.

"Saya selesa gunakan cawan sebab dah biasa, lagipun ruang dapur terhad. Tapi untuk perkara lain memang gunakan tripod dan ia sangat membantu, terima kasih Perdana Menteri," katanya.

Menurut Pavithra, penghargaan yang diterima daripada Perdana Menteri serta pengikut akaun YouTube beliau akan dijadikan sebagai perangsang untuk terus memuat naik kandungan video memasak bagi manfaat bersama.

Katanya, selepas memuat naik rakaman temu ramah bersama Bernama semasa Hari Wesak pada 7 Mei lalu, jumlah pelanggan YouTube 'Sugu Pavithra' terus melonjak daripada 160,000 kepada 441,000 setakat 10.30 pagi ini.

Selain itu, ibu kepada dua anak itu juga mengakui 'agak sibuk' melayan sekurang-kurangnya 20 panggilan telefon setiap hari sama ada untuk temu ramah atau menghantar barangan berupa bahan makanan mahupun perkakasan elektrik.

Pasangan itu yang memuat naik video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu di akaun YouTube 'Sugu Pavithra' bejaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

Berita berkaitan:

  • Sentuhan masakan Pavithra
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 11:56 AM
    S Pavithra (kanan) bersama M Sugu ketika merakamkan video masakan. FOTO Bernama
    S Pavithra (kanan) bersama M Sugu ketika merakamkan video masakan. FOTO Bernama