TIGA beradik yang kehilangan ibu mereka. FOTO Ramli Ibrahim
TIGA beradik yang kehilangan ibu mereka. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


RUTIN tiga beradik yang menziarah pusara ibu mereka setiap Jumaat selain pada Aidilfitri berubah selepas datuk yang menjadi tempat bergantung meninggal dunia awal tahun ini.

Selepas kematian datuk mereka, Ahmad Qushri Mohd Arul, 10, Qushri Adli, 8, dan Qusri Adam, 6, tinggal bersama ibu saudara, Robiatul Ishak, 45, di Kampung Batu Papan dekat Gua Musang.

Robiatul berkata, tiga beradik itu memang manja dengan arwah datuk mereka, Ishak Deris selepas kematian ibu akibat dibunuh pada 2015.

"Boleh dikatakan, selepas tragedi itu, setiap Jumaat mereka minta dibawa menziarah kubur dan permintaan itu tidak pernah ditolak datuknya.

"Ada kalanya, tiga beradik itu kerap menyebut arwah ibu kerana ketika tragedi, mereka masih kecil dan yang bongsu baru berusia setahun.

"Kami sendiri juga mengalirkan air mata apabila mereka menyebut nama arwah ibu dan meminta dibawa menziarah pusara," katanya ditemui di rumahnya hari ini.

Pada 1 Mac 2015, ibu tiga beradik itu, Yashmin Fauzi, 26, ditemui dalam keadaan terbaring dan separa sedar di atas jalan oleh suaminya yang ketika itu bertugas sebagai anggota polis bantuan.

Kejadian berlaku 2.40 pagi ketika Mohd Azrul Isahak, 34, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Mohd Azrul yang rasa tidak sedap hati pulang ke rumah dan sebaik tiba, dia menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Mangsa dikelar di leher oleh jiran lelaki mereka.

Menurut Robiatul, anak sulung pasangan itu mengambil masa hampir dua bulan untuk melupakan peristiwa yang menimpa ibunya.

"Mereka bertiga juga tidak menerima sumbangan pakaian baharu, mungkin berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kebiasaannya, mereka menerima pakaian didermakan pelbagai pihak setiap kali menjelang Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 2:08 PM