ZAMRI (kanan) melihat baucer hadiah pemenang  Water Hero Challenge 2020. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ZAMRI (kanan) melihat baucer hadiah pemenang Water Hero Challenge 2020. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


SEMUA Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah dijangka meletak jawatan, susulan peralihan kerajaan negeri yang dijangka berlaku esok.

EXCO Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Datuk Ir Zamri Yusof, berkata pihaknya akur dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.

Katanya, ia termasuk melepas jawatan EXCO susulan pelantikan Menteri Besar baharu menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kami Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) sudah mengadap baginda semalam, jadi saya terima apa saja titah Tuanku esok.

"Cuma saya berpuas hati dan kebetulan minggu ini lengkap dua tahun saya dan rakan lain bertugas sebagai EXCO, saya sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat, terutama dalam soal pengurusan bekalan air," katanya.

Terdahulu, Zamri ditemui selepas Majlis Ganjaran Water Hero Challenge 2020 di Ibu Pejabat Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Alor Setar, hari ini.

Zamri yang juga wakil PKR bagi ADUN Suka Menanti berkata, beliau akan hadir melaksanakan tugasnya di Wisma Darul Aman esok pagi, sehingga titah Tuanku dikeluarkan.

"Saya sudah bersama PKR selama 21 tahun dan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Pengerusi PKR negeri.

"Selepas ini saya akan terus bekerjasama bersama parti PH, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH)," katanya.

Ditanya mengenai kerjasama bersama Mukhriz selepas ini, Zamri menjelaskan pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pemimpin berkenaan.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN, termasuk daripada BERSATU.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Berita berkaitan:

  • Tunggu keputusan Sultan Kedah
  • 'Macam-macam cara khianat' - Mukhriz
  • Sidang DUN putuskan siapa MB: Mukhriz
  • Saya masih Menteri Besar: Mukhriz
  • Sanusi bakal MB Kedah baharu?
  • PN Kedah umum pembentukan kerajaan negeri baharu
  • ADUN Sidam, Lunas keluar PKR, sokong Muhyiddin
  • PN dijangka umum kerajaan negeri baharu Kedah
  • Kemelut Kedah berakhir hari ini?
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 4:38 PM