X
ISMAIL Sabri pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bangunan Perdana Putra. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik


CUBAAN 1,408 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini secara haram melalui lorong tikus dipatahkan pihak berkuasa yang berjaya mengesan taktik berkenaan sebelum menahan mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka adalah kumpulan PATI yang ditahan pihak berkuasa bermula 1 Mei lalu hingga semalam.

"Bermula 1 Mei hingga 15 Mei, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawal kawasan sempadan berjaya menangkap 1,408 PATI.

"Pihak berkuasa juga mengenal pasti tekong yang terbabit dalam percubaan membawa masuk PATI ini dan mereka berjaya menangkap 14 tekong," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, kerajaan memandang serius percubaan beberapa pihak membolosi sempadan negara termasuk melalui lorong tikus.

"Kepada rakyat yakinlah kerajaan akan terus memantau dan mengetatkan kawalan di sempadan darat dan laut terutama di lorong tikus bagi menyekat kemasukan PATI demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 5:42 PM