TNB serah 10,260 bingkisan raya kepada pekerja TNB yang bekerja pada hari raya.
TNB serah 10,260 bingkisan raya kepada pekerja TNB yang bekerja pada hari raya.
Sri Ayu Kartika Amri


TENAGA Nasional Berhad (TNB) meneruskan tradisi membekalkan bingkisan raya kepada warga kerjanya yang bertugas pada raya pertama Aidilfitri ini.

Tahun ini sebanyak 10,260 bingkisan diagihkan berbanding 9,300 pada tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tradisi sejak 2005 ini adalah secebis penghargaan kepada warga kerja TNB yang dijadualkan bertugas ketika ramai sedang bersama keluarga masing-masing menyambut Aidilfitri.

"Terdapat warga kerja TNB yang terpaksa berjauhan dan tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula kerana sebahagian besar barisan hadapan kami bertugas dan bersiap sedia di lokasi kritikal seperti hospital dan stesen janaelektrik.

"Peranan mereka dalam memastikan TNB dapat terus membekalkan elektrik sepanjang Syawal kali ini semakin penting disebabkan negara masih belum bebas daripada pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 10,260 bingkisan raya akan diagihkan untuk anggota kerja TNB di Semenanjung dan Sabah.

Majlis pengagihan bingkisan disempurnakan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Kompleks Balai Islam An-Nur TNB Ibu Pejabat TNB hari ini.

Hadir sama, Dipertua Persatuan Wanita (Pelitawanis) TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu, isteri Pengerusi TNB, Datin Seri Noraini Abdullah selaku Penaung Pelitawanis TNB serta barisan Pengurusan Tertinggi TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 5:25 PM